Pada suatu hari Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a didatangi seorang lelaki yang mengadu bahawa anaknya sentiasa menderhaka kepadanya. Maka anak itu dipanggil oleh Umar, seraya diingatkan agar jangan menderhakai ayahnya serta dianjurkan agar ia mentaatinya dan menjaga hak-haknya.
“ Tiba-tiba si anak pun bertanya kepada Umar katanya: "Wahai Amirul Mukminin apakah anak tiada mempunyai hak-hak atas ayahnya?"
Jawab Umar: "Bahkan ada!"
Berkata si anak "Apa dia, wahai Amirul Mukminin?"
Berkata Umar: "MEMILIH IBU yang BAIK, memberikan nama yang baik serta mengajarnya membaca Al-Quran.
Berkata si anak: "Wahai Amirul Mukminin sesungguhnya bapa saya tiada membuat satu pun dari ketiga-tiga perkara itu. Ibu saya berbangsa Afrika dahulunya isteri seorang majusi. Saya pula diberi nama Khunfusak (bermaksud 'lipas') dan juga tidak pernah mengajar saya satu huruf pun dari Al-Quran. Lalu Umar berkata kepada ayahnya: 'Jika demikian, kamu telah derhaka kepada anakmu sebelum dia derhaka kepada mu."
Teguran Umar itu bertepatan dengan hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah saw telah bersabda "Seseorang wanita dinikahi kerana empat sebab: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah engkau mengutamakan yang beragama, itulah pilihan yang terbaik."
Baginda saw menegaskan betapa pentingnya wanita yang mempunyai asas agama yang mantap dan amalan-amalan yang kuat yang mampu membentuk dirinya sebagai srikandi mulia dalam sesebuah institusi keluarga. Agama diiktiraf sebagai kriteria tertinggi berbanding rupa paras, kekayaan dan darjat. Agama inilah yang dapat menjamin kemampuan si ibu untuk mendidik anak. Perkahwinan beginilah yang mampu membuahkan anak-anak yang soleh dan solehah. Lihat sahaja perkahwinan Rasulullah dengan isterinya yang tercinta Ummul Mikminin Saidatina Khadijah.
Demi untuk zuriat yang bakal lahir, setiap pemuda dan pemudi wajib merancang dengan baik dalam mencari bakal ibu dan bapa kepada anak-anak. Jika gagal, tidak mustahil anak-anak nanti menjadi rosak dan akhirnya menjadi derhaka kepada ibu dan ayah.
Jangan jadi seperti yang dikatakan oleh Sayyidina Umar:
“ Kamu telah menderhaka kepada anakmu, sebelum anakmu menderhaka kepada mu...”
** http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/2042-memilih-ibu-untuk-si-anak.html
0 comments:
Post a Comment